Elakkan Memberi Air Masak Pada Bayi



Semoga info-info di bawah dapat menyedarkan ibu bapa tentang mengapa pemberian air masak tidak digalakkan kepada bayi berumur 6 bulan ke bawah. Ianya disebabkan oleh faktor-faktor seperti berikut;

1. Merencatkan Tumbesaran
Perut bayi sangat kecil. Apabila perut bayi telah di penuhi air, bayi akan merasa kenyang dan kurang berminat untuk menyusu susu ibu lagi. Akibatnya segala khasiat susu ibu tidak dapat diberikan secara optima kepada bayi. Ini boleh menjejaskan pertumbuhan dan kesihatannya kerana air  tidak mengandungi sebarang khasiat. Di samping itu, kajian mendapati pemberian air glukos pada minggu pertama kelahiran dikaitkan dengan kehilangan berat badan yang banyak lalu merencatkan tumbesaran.

2. Merencatkan Akal
Memberikan air masak kepada bayi di awal kelahiran didapati meningkatkat tahap bilirubin di dalam darah. Menurut pakar Laktasi dari Kanada, Anne Kirkham, pemberian air akan memburukkan lagi keadaan bayi  yang diserang jaundis (sakit kuning) sehingga menyebabkan ‘kernicterus’ iaitu ‘Terencat Akal’. Bayi juga akan menjadi bertambah mengantuk dan lesu tidak bermaya.

3. Mengancam Nyawa
Air boleh membawa kuman. Ini menyebabkan bayi terdedah kepada cirit-birit jika kebersihan tidak dititikberatkan. Pencemaran boleh berlaku dipelbagai peringkat, seperti air yang diperolehi daripada sumber yang tidak selamat ataupun bekas air dan putting yang tidak bersih. Air akan menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu dan ini akan mendedahkan bayi kepada pelbagai  jangkitan.

4. Mengakibatkan Sawan Tarik
Air sangat berbahaya jika diberikan kepada bayi terutamanya yang berumur di bawah 5 minggu. Terlalu banyak minum air masak akan mencairkan garam di dalam darah bayi. Ini akan menyebabkan suhu badan yang rendah, kembung atau sawan tarik. Sindrom ini dipanggil ‘Oral Water intoxication’.
Sebenarnya susu ibu sudah mencukupi untuk bayi tanpa perlu ditambah air atau cecair lain kerana susu ibu mengandungi 88% air. Kolostrum yang terhasil di awal penyusuan dapat membantu membersihkan perut bayi dan mengelakkan sembelit. Tiada air tambahan diperlukan untuk proses tersebut. Oleh itu, beri bayi anda susu ibu sekerapnya.

Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku, Matiku adalah untuk ALLAH Tuhan sekalian alam

Copyright© All Rights Reserved ~DemiMasa!~hamiralianasj.blogspot.com